Dato’ Haji Sabarudin Bin Haji Othman

Allahyarham Dato’ Haji Sabarudin Bin Haji Othman mendapat pendidikan menengah di Negeri Pahang Darul Makmur iaitu di Sekolah Menengah (Inggeris), Kuantan. Selepas mendapat kelulusan Sijil Persekolahan (Senior Cambridge School Certificate) (Disember 1953) beliau telah berkhidmat sebagai Guru Pelatih di Sekolah Ahmad, Pekan, Pahang Darul Makmur di antara 1954 sehingga 1955. Di antara 1955 sehingga bulan Oktober 1966 beliau telah bertugas sebagai Jurubahasa Melayu Mahkamah Tinggi Raub, Pahang Darul Makmur.

Dato’ Haji Sabarudin Bin Haji Othman adalah seorang yang cekal hati dan bekerja keras. Ini boleh dilihat apabila beliau bertolak ke London untuk mengikuti ilmu Undang-Undang di Lincoln’s Inn dalam tahun 1966 semasa beliau telah menjangkau 33 tahun. Pada masa ini beliau telahpun berumah tangga dan mempunyai beberapa orang cahaya mata dan walaupun terpaksa menghadapi masalah-masalah yang sukar, beliau telah lulus pengajian undang-undang beliau dalam masa yang ditetapkan.

Dato’ Haji Sabarudin Bin Haji Othman memasuki perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan dalam tahun 1970. Dalam perkhidmatan ini, beliau telah menunjukkan kewibawaan dalam menjalankan tugas sehingga dilantik sebagai Penasihat Undang-Undang Negeri Melaka dalam tahun 1975 iaitu enam tahun selepas beliau memasuki perkhidmatan kehakiman dan perundangan. Ini adalah satu pencapaian yang amat tinggi. Kerajaan telah menaruh kepercayaan kepada beliau dengan melantik beliau sebagai Pengerusi Suruhanjaya Diraja (Royal Commission) untuk menyiasat Kematian Bayi-Bayi Di Hospital Besar Melaka. Pelantikan ini ialah oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong.

Dato’ Haji Sabarudin Bin Haji Othman telah dilantik sebagai Pengerusi Mahkamah Perusahaan pada 1 Januari 1991. Beliau telah menjalankan tugas ini dengan cemerlang. Beliau adalah seorang Pengerusi Mahkamah Perusahaan yang berdedikasi dalam menjalankan tugasnya. Beliau juga sangat dihormati dan disegani di atas kewibawaan dan kecekapan serta keadilan dalam pengendalian kes-kes pertikaian di antara Majikan dan Pekerja. Beliau telah dapat dan berjaya menyelesaikan kes-kes pertikaian perusahaan dan pembuangan kerja dengan cekap dan cepat. Di atas sumbangan yang bermakna ini beliau telah dinaikkan pangkat sebagai Yang DiPertua Mahkamah Perusahaan Malaysia dalam tahun 1995.

Di bawah kepimpinan beliau Mahkamah Perusahaan Malaysia telah berkembang dengan pesatnya dan dihormati oleh pihak majikan pekerja serta juga peguam-peguam. Di samping itu juga beliau telah mengadakan Persidangan Pengerusi-Pengerusi Mahkamah Perusahaan pada tahun 1995 di Kuching, Sarawak dan pada tahun 1996 di Pulau Langkawi demi untuk meningkatkan produktiviti dan mengeratkan lagi perhubungan antara Pengerusi-Pengerusi. Di bawah era beliau dua cawangan Mahkamah Perusahaan telah dibuka di Johor Bharu dan satu lagi di Ipoh. Sebelum ini, segala perbicaraan diadakan di Jabatan Perhubungan Perusahaan bagi kes-kes kawasan tersebut.

Allahyarham Dato’ Haji Sabarudin Bin Haji Othman telah dilantik sebagai Pengerusi Mahkamah Perusahaan pada 1 Januari 1991. Memandangkan sifat-sifat beliau yang jujur, amanah, tekun serta adil, beliau dinaikkan pangkat kepada Yang DiPertua Mahkamah Perusahaan pada 1 Januari 1995. Di bawah kepimpinan beliau, Mahkamah Perusahaan telah mencapai kemajuan demi kemajuan dan dihormati khasnya di kalangan Kesatuan Sekerja dan Kesatuan Majikan dan di kalangan pekerja amnya.

Pada 29 Disember 1998, beliau telah bersara dari jawatan Yang DiPertua Mahkamah Perusahaan. Beliau menjadi rakan kongsi Sabarudin Othman & Ho yang beramal di Kuala Lumpur dan Melaka sehingga akhir hayatnya pada 3 April 2018.

Allahyarham meninggalkan balu Datin Hajah Siti Maznah Acheh dan empat orang anak iaitu Puan Mardiana, Puan Faridah Hanim, Dato’ Dr Johan Shamsuddin, Dekan Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya dan Capt. Muhammad Asri seorang juruterbang Saudi Air, berserta 15 cucu dan tujuh cicit.

Written By,
Dato’ Dr Johan Shamsuddin