Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Saya, Puan Faridah Abdullah di sini ingin menulis tentang kisah anak sulung saya yang bernama Sharifah Zubaidah Bt Wan Yep Mohdzar. Mengisahkan tentang masa kecilnya dialah anak yang paling comel dan cantik. Semua orang sayang padanya dan suka untuk memeluknya. Apabila dia masuk zaman persekolahan, beliau adalah seorang anak yang cerdik dan pandai. Beliau juga disukai ramai dan semua orang ingin berkawan dengannya. Saya dan suami sangat sayang dan berbangga dengan pencapaian beliau.
Beliau tidak banyak masalah di sekolah dan guru-guru pun amat menyayanginya. Masa terus berlalu sehingga tamat darjah enam. Pada waktu itu, beliau berusia 12 tahun. Tiba tiba sahaja kami dikejutkan dengan kehilangan ayahnya yang tersayang akibat sakit jantung. Beliau terlalu sedih kerana beliau paling rapat dengan ayahnya. Beliau adalah anak kesayangan ayahnya. Walaubagaimanapun, hidup ini mesti diteruskan. Saya selalu memujuknya dan memberi sokongan dan semangat padanya kerana pada tahun hadapan, beliau akan memasuki tingkatan satu.
Bermula di saat itulah, kehidupan saya dan anak sulung saya berserta empat lagi adik beradiknya hidup tanpa seorang suami dan ayah. Namun Sharifah Zubaidah adalah seorang anak yang cekal dan berusaha untuk terus belajar dan menamatkan persekolahan beliau sehingga tingkatan lima. Dipendekkan cerita, beliau kemudiannya mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran di sebuah universiti di Kuala Lumpur. Saya berasa gembira dan bangga kerana beliau berjaya menjejakkan kaki ke universiti walaupun kehidupan kami pada masa itu sangat susah.
Maka bermulalah kehidupan universitinya dalam jurusan undang-undang. Setelah tamat pengajian, dia pun berkahwin dan saya amat gembira kerana anak sulung saya sudah berjaya dalam pelajaran dan kehidupannya. Beliau juga sentiasa dipandang tinggi oleh adik adiknya. Setelah itu, beliau memulakan alam pekerjaan. Beliau adalah anak yang baik, cantik dan bertanggungjawab dan saya sangat berbangga akan pencapaiannya. Dia telah membantu keluarga dan melayan saya dengan baik sebagai ibunya. Dan saya pasti dia jugalah seorang pekerja yang baik, bertanggungjawab, jujur dan amanah. Saya sangat berbangga dan sayang padanya.
Sebagai manusia kita hanya merancang tetapi tuhan juga yang menentukan segalanya. Kehidupan rumah tangganya tidak berkekalan. Akan tetapi Sharifah Zubaidah seorang yang tabah menghadapi segala cabaran dalam kehidupannya. Kami sekeluarga sentiasa membantu dan menyokong beliau. Saya selalu mendoakan agar beliau sentiasa kuat dan tidak patah semangat. Dalam pada masa yang sama, beliau tetap bekerja keras dalam kehidupan untuk membantu keluarga kami. Saya sebagai ibunya sentiasa memberi sokongan agar beliau tidak putus asa.
Pada tahun 2012, kami semua dikejutkan dengan pemergian adik kesayangan beliau. Sharifah Zubaidah sangat sedih akan tetapi beliaulah yang menguruskan kesemuanya. Tidak lama kemudian, beliau menjalani pemeriksaan kesihatan dan Doktor mengesahkan beliau menghidapi kanser payu dara. Sharifah Zubaidah, dengan cekal memberitahu kami ahli keluarganya bahawa beliau akan mengikuti nasihat doktor untuk menjalankan pembedahan lumpektomi dan tidak lama kemudian mastektomi. Rawatan radioterapi juga di jadikan sebagai rawatan susulan. Setelah doktor mendapati terdapat ketulan lain yang tumbuh dalam masa yang singkat, beliau menjalani pula rawatan kemoterapi sebanyak lima pusingan. Bayangkan betapa sukarnya akan tetapi beliau seorang yang tabah dan sentiasa berdoa agar setiap rawatan akan berjaya. Sharifah Zubaidah tetap berusaha pelbagai cara dan kami semua tidak putus berdoa untuknya. Manusia hanya merancang, berdoa dan berharap, tetapi Allah S.W.T juga yang menetukan segalanya. Sharifah Zubaidah meninggalkan kita semua pada 17 Mei 2014. Anak kesayangan saya telah pergi meninggalkan saya selamanya. Saya berdoa semoga Allah S.W.T sentiasa merahmati dan mengampuni dosa-dosanya. Saya juga berharap Allah S.W.T menempatkan beliau di tempat disisiNya.
Sesungguhnya dari Allah kita datang dan kepadaNya kita dikembalikan. Inilah kisah anak sulung saya yang bernama Sharifah Zubaidah Bt Wan Yep Mohdzar. Pengalaman yang bermakna menjaganya dan tidak akan saya sesali seumur hidup. Saya sebagai ibunya yang mendidik dan membesarkannya memohon maaf bagi pihaknya jika anak saya ada melakukan kesilapan atau kesalahan kepada anda sama ada sengaja atau tidak disengajakan. Dan saya juga mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua pihak yang pernah membantu beliau semasa beliau masih hidup. Terima kasih saya ucapkan kerana memberi saya peluang menulis tentang Sharifah Zubaidah. Ia membuatkan saya menerima kenyataan bahawa Sharifah Zubaidah sudah pergi buat selama-lamanya. Semoga kawan-kawan dan rakan-rakan sentiasa mendoakannya untuk kebahagiaannya di akhirat.
Ameen ya rabbal alameen.